Thursday, December 10, 2009

Bedosa Besar Memakan Harta Anak Yatim

Oleh Izkhair Muhammad

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Anak yatim adalah mereka yang tidak mempunyai ibu bapa dan saudara mara yang boleh menguruskan keperluan hidupnya. Oleh itu, Allah S.W.T memerinthkan umat Islam supaya bertanggungjawab terhadap anak yatim dan segala harta benda yang ditinggalkan oleh ibu bapanya.

Bagi menjaga keselamatan dan kebajikan mereka, Allah S.W.T melarang manusia makan atau menggunakan harta anak yatim untuk kepentingan diri sendiri atau sebagainya.

Firman Allah :

"Sesungguhnya orang yang memakan harat anak yatim secara zalim ialah menelan api kedalam perutnya, Mereka akan dibakar dengan api yang bernyala-nyala."
(Surah An-Nisa' : Ayat 10)

Segala harta anak yatim hendaklah dijaga dengan sempurna serta digunakan untuk keperluannya. Apabila mereka sudah dewasa dan berupaya mengurus hartanya sendiri, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepadanya.

Beberapa kewajipan Umat Islam terhadap anak yatim iaitu menjaga keselamatan dirinya, menyayanginya seperti anak sendiri, memberi pendidikan dan pengajaran yang sempurna kepada mereka, memberi layanan yang baik terhadapnya dan menjaga segala keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan sebagainya.

Antara tujuan Islam menyuruh umatnya mengambil berat terhadap anak-anak yatim ialah mereka merupakan golongan yang tidak mempunyai tempat bergantung, untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan harmoni dan untuk menjag maruah Islam dan umat Islam yang mengutamakan sikap tolong menolong antara sesama manusia.

Oleh itu, hendaklah kita sebagai umat Islam agar menjaga anak-anak yatim ini, janganlah kita memakan harta mereka dan juga janganlah kita mempergunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan sedangkan kita yang diwajibkan untuk menjaga mereka dan melayani mereka seadil-adilnya. Sesungguhnya Allah akan membalas mereka dengan ganjaran Syurga bagi menolong anak-anak yatim.

No comments:

Post a Comment