Sunday, December 6, 2009

Ibadat Batin : Pekerjaan hati dan akal

Oleh Izkhair Muhammad

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mah Pengasihani

Antara pekerjaan hati dan akal bagi memenuhi agenda penghayatan tauhid Al-Uluhiyah ialah iman, kasih dan cintakan Allah S.W.T, takut dan bimbang kemurkaan Allah, menggantungkan harapan hanya kepada Allah S.W.T, bertaubat, berfikir, mengawal nafsu Amarah dan bertawakal.

Pertama, Iman iaitu percaya tentang kewujudan Allah dan kekuasaan Allah S.W.T yang mentadbir seluruh hambanya, juga percaya kepada semua yang diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya hambanya beriman kepada malaikat, kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, hari akhirat, pembalasan dosa dan pahala, bahagia dan sengsara akhirat dan percaya kepada Qada' dan QadarNya.

Firman Allah :

"Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan rasulNya, dan kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulNya (Muhammad S.A.W), dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu."
(An-Nisa 4:136)

"Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun didalam ibadatnya kepada tuhannya."
(AL-Khafi 18:110)

"Katakanlah(Muhammad) wahai tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah (Allah) yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekusaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.Sesungguhnya Engkau Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(Surah Al-Imran 3:26)

Keduanya, keinginan dan kemahuan yang baik yang diizinkan oleh syarak. Hati menjadi pencetus keinginan dan kemahuan sehingga menjadi suatu hasrat untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disebut niat. maka keinginan dan kemahuan, hasrat serta niat yang sedemikian dikira sebagai ibadat.

Hadis Rasulullah S.A.W :

"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira sah dengan niat..."
(Riwayat Al-Bukhari)

Ketiga, Kasih dan cinta kepada Allah dan kepada orang yang dikasihi Allah daripada kalangan para rasul dan orang yang berjihad menegakkan agama Allah.

Firman Allah :

"Dan orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah"
(Al-Baqarah 2:165)

Rasulullah S.A.W pernah berdoa :

"Ya Allah!, Kurniakanlah kepadaku rezeki dan kasih cinta kepadaMu dan kasih orang yang kasihnya kepadaMu dapat memberikan kebaikan kepadaku disisiMu, Ya Allah!, apa jua yang Engkau kurniakan rezeki kepada aku daripada perkara-perkara yang aku sukai, maka jadkanlah ia kekuatan kepadaku untuk menjalankan perkara-perkara yang Engkau sukai, dan apa jua yang Engkau ambil kembali daripada rezekiMu yang aku sayangi, maka jadikanlah ia kelapangan bagiku untuk melakukan perkara-perkara yang Engkau sukai."

Keempat, takut dan bimbang pada kemurkaan Allah kerana Allah memerintahkan hambanya supaya hanya takut kepadaNya dan tidak kepada selainNya.

Kelima, menggantungkan harapan hanya kepada Allah dengan setulus hati. Manusia memang mempunyai keinginan atau kehendak yang banyak tidak ada manusia yang dapat memenuhi semua harapan dan kehendak secara bersendirian atau melalui orang-orang lain kerana Allah S.W.T yang dapat memenuhinya. Namun perlu disedari syarat-syarat untuk memudahkan harapan dan keinginan dikabulkan oleh Allah taala. Syarat utama itu ialah melakukan amal soleh dan tidak mempersekutukan Allah S.W.T dengan sesuatu pun serta memohon kepadaNya.

Keenam, kembali kepada Allah iaitu bertaubat. Manusia dalam hidupanya sering melalui liku-liku hidup yang berbagai-bagai dan ada kalanya terlanjur atau terkeluar daripada batas-batas hukum syarak. Oleh itu, cara yang sebaik-baiknya untuk memastikan diri berada dalam lingkungan ibadat ialah kembali kepada Allah memohon keampunanNya (Maghfirah) dan bertaubat.

Firman Allah:


"Dan kembalilah kamu kepada tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadanya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan."
(Surah Az-Zamr 39:54)

Kelapan ialah mengawal nafsu (Nafsu Amarah). Manusia semuanya mempunyai hawa nafsu yang boleh mendorong melakukan perkara munkar.Oleh itu hati dan akal dapat digunakan untuk mengawal nafsu supaya manusia terselamat daripada perbuatan munkar dan maksiat.

Akhir sekali, Tawakal iaitu menyerahkan diri dan segala urusan kepada Allah S.W.T, setelah berusaha kerana percaya kepadaNya. Tawakal dapat memberikan kekuatan dan ketenangan kepada hati dan memberi kesan positif kepada sikap manusia.

Sumber
Jabatan Agama Johor

No comments:

Post a Comment