Saturday, December 5, 2009

Mukjizat Al-Quran

Oleh Izkhair Muhammad

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Al-Quran adalah kalam Allah S.W.T yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk menjadi panduan kepada umat manusia demi mencapai kebahagiaan hidup yang sejati didunia dan diakhirat kelak. Al-Quran juga merupakan kitab Allah yang terakhir yang isi kandungannya akan kekal hingga kiamat.

Firman Allah:

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran dan Kami akan memliharanya dengan sebaik-baiknya."
(Surah Al-Hijr: Ayat 9)

Al-Quran diturunkan ketika masyarakat arab jahiliah berada didalam kegelapan. Turunnya Al-Quran telah mengubah keadaan tersebut kepada keperibadian yang mulia dan hidup yang bertamadun.Sebagai Mukjizat kepada Rasulullah S.A.W, Al-Quran diturunkan dengan beberapa tujuan seperti untuk membimbing manusia kepada jalan yang benar dan diredhai oleh Allah S.W.T, Untuk mewujudkan keharmonian dan keamanan di kalangan manusia, supaya manusia menjalani kehidupan yang lebih tersususn melalui peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan supaya manusia hidup bertamadun dengan adanya berbagai-bagai ilmu pengetahuan dalam Al-Quran.

Isi kandungan Al-Quran lengkap dengan pelbagai aspek kehidupan manusia :
  1. Perkara yang berkaitan dengan ibadat, iaitu solat, puasa, zakat dan haji.
  2. Perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan seperti ilmu Sains, matematik, geografi, perubatan, fizik dan lain-lain.
  3. Perkara yang berkaitan dengan undang-undang untuk keamanan hidup manusia seperti hukum hudud, kekeluargaan, perkahwinan, harta pusaka, muamalat (Perniagaan secara Islam) dan lain-lain yang meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia.
  4. Cerita sejarah yang berlaku pada zaman dahulu atau kisah-kisah nabi yang boleh jadikan pengajaran kepada umat manusia.
Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa Al-Quran merupakan mukjizat seperti Al-Quran diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia. Seterusnya Isi kandungan Al-Quran merangkumi perkara-perkara yang berhubung dengan kehidupan di dunia dan di akhirat. Selain itu, Susunan bahasa Al-Quran sungguh indah dan tidak dapat ditiru sehingga kini, manakala ayat-ayat Al-Quran tidak jemu untuk dibaca dan didengar.Semakin lama ayat Al-Quran dibaca dan didengar, semakin lazat sehingga menusuk kalbu. Bukti lain ialah, Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W adalah seorang Ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Oleh sebab itu, adalah mustahil manusia biasa seperti itu dapat mencipta sebuah kitab yang lengkap seperti Al-Quran.

Maka, bacalah Al-Quran pada setiap masa dan ketika, hayati maksud-maksudnya yang mempunyai satu ribu makna tersirat. Sesungguhnya sesiapa yang membacanya, Allah S.W.T akan memberi ganjaran pahala untuk satu huruf ayat AL-Quran yang dibacanya.Manakala sesiapa yang membcanya dirumah, rumahnya akan diterangi cahaya dan dilindungi daripada gangguan Iblis dan Syaitan. Sesungguhnya Al-Quran adalah senjata umat Islam dan wajib bagi setiap umat Islam untuk memahaminya.

No comments:

Post a Comment